14 Februari 2013

DESTINASI PERCUTIAN PILIHAN

KELANTAN



10 Februari,2013
Seawal jam 7 pagi memulakan perjalanan ke Negeri Cik Siti Wan Kembang (Kelantan Darul Naim) bersama warga SK Tanah Liat (sebenarnya orang luar yang banyak,warga SK Tanah Liat hanya berapa kerat sahaja).Sebenarnya mengikut perancangan awal destinasi sebenarnya ialah Kelantan – Terengganu tetapi atas sebab-sebab tertentu hanya Kelantan sahaja destinasi yang dituju.

Destinasi pertama ke Pasir Mas untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang guru dari SK Tanah Liat.Terima kasih atas layanan yang diberikan,walaupun sebahagian dari kami bukan warga SK Tanah Liat.

Selepas itu,kami bertolak ke tempat penginapan kami di Home Beach Village Resort. Alhamdulillah,selesa juga tempat penginapan kami.Pendek kata puas hatilah.

Tempat Penginapan

                                                      Bilik Penginapan

Restoran 

Jam 6.30 petang keluar dari tempat penginapan ke Pantai Cahaya Bulan,menyaksikan keindahan pantai diwaktu senja,ombak yang menderu,layang-layang menari ditiup angin pantai dan lain-lain lagi.



                                                 Pantai Cahaya Bulan

                           Ambil angin ditepian pantai

Jam 7.30 malam bertolak ke Wakaf Che Yeh,sampai jam 8 lebih.


Tempat pertama yang dituju mestilah gerai makanan yang terdapat disitu sebab perut berlagu riang minta diisi.Disinilah sebuah kenangan yang tak dapat dilupakan tercipta.

Ada lucu,ada rasa tidak puas hati dan sebagainya.Apabila dipanggil datanglah seorang ‘waiter’ mengambil order,kalau tak dipanggil rasanya tak datang dia,sebab terlalu sibuk.Banyak juga makanan dan minuman diorder,maklumlah 9 orang satu meja (6 dewasa 3 orang kanak-kanak).

Selepas itu ada seorang ‘waiter’ lain datang sambil membawa 3 gelas teh o ais,sambil bertanya “ ada order ‘Teh O Beng’ ”. Tercengang kami semua,seumur hidup tak pernah dengar perkataan ‘Teh O Beng’ ,dalam hati ingat nama Cina mana yang disebut-sebut oleh ‘waiter’ tu.Tanya juga ‘Teh O Beng’ tu apa,dia jawab ‘Teh O Beng’ la.Sempat juga kami berbisik (dia ni tak faham bahasa ke).

Dalam mencari-cari maksud ‘Teh O Beng’ tu apa,tiba-tiba sikecil yang berumur 8 tahun bersuara ‘Teh O Ais’ kot (fahe jugak sikecil ni loghat Kelate,kami yang dewasa ni tak fahe-fahe lagi),‘waiter’ tadi menggangguk perlahan-lahan.Itu perkara lucu dan yang membuatkan kami tak puas hati pulak adalah menunggu makanan yang dipesan terlalu lama,hampir 2 jam (pukul 8.30 order makanan,jam 10 tak sampai-sampai lagi).Kami perhatikan ramai pelanggan berlalu begitu sahaja dan rombongan yang bersama kami pun merungut,mereka tak sempat nak membeli belah di Wakaf Che Yeh sebab jadual perjalanan kami hanya 3 jam sahaja disitu dan ada antara kami yang tidak dapat makanan yang diorder hingga akhirnya.Kesiankan mereka,sudahlah datang dari jauh,tiada rezeki mereka kat situ.

11 Februari,2013
Seawal jam 5.30 pagi ada antara kami sudah bangun,mengemas apa yang patut untuk memulakan perjalanan ke destinasi seterusnya dan apabila azan berkumandang kami mendirikan solat subuh.

Selepas bersarapan di Restoran Home Beach Village Resort,kami memulakan perjalanan ke Pasar Besar Siti Khadijah.




Dalam pada itu sempat juga singgah ke Kg Laut untuk membeli serunding daging dan serunding ayam.Serunding dari Kelantan memang sedap,tiada tandingannya.Jam 9 lebih kami sampai ke Pasar Besar Siti Khadijah.Letih juga berjalan di setiap tingkat.Selain serunding daging dan ayam,pastinya keropok dan budu pilihan kami.Itulah yang mula-mula kami cari.



Setelah penat membeli belah di Pasar Besar Siti Khadijah,kami meneruskan perjalanan ke Rantau Panjang dan kami sempat singgah sebentar  di Masjid Beijing Rantau Panjang untuk bersolat.Kagum dengan keindahan dan seni binanya,Subhanallah.






Akhirnya tiba juga ke destinasi terakhir kami Rantau Panjang walaupun sepanjang jalan berlaku kesesakan lalu lintas.Allah permudahkan perjalanan kami.Jam 7 malam,bertolak balik ke negeri tercinta kami iaitu Pulau Pinang.Hampir jam 2 pagi (12 Februari,2013)kami tiba dirumah masing-masing.




Mohon maaf ya warga Kelate,kami tak fahe sangat loghat anda.Kami akan ingat ‘Teh O Beng’ , ‘Kopi O Beng’ anda.

04 Disember 2012

WARKAH DARI MAK DAN AYAH



Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
(Ar-Ruum 30:21)

Alhamdulillah,selamat segalanya.Kini aku milik orang.
Sewaktu hendak melangkah pergi,mak titipkan sepucuk warkah buat aku dan suami.Sedih menyelubungi hati dan perasaan apatah lagi berpisah dengan orang yang aku sayangi.Aku menangis semahunya,ingin aku bawa mak dan ayah bersama tapi apakan daya,dulu aku di bawah tanggungjawab mak dan ayah,kini aku menjadi tanggungjawab suamiku sepenuhnya.

Ini kali kedua  aku berpisah dengan mak dan ayah.Kali pertama dulu sewaktu aku melanjutkan pelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi.Dulu seorang kini berdua.Alhamdulillah ‘imamku’ seorang yang taatkan Allah.
Warkah dari mak dan ayah aku tatapi.Panjang lebar,pesanan dari mak dan ayah untukku dan suami.

Asssalamualaikum anak-anak yang disayangi.Sekadar pesanan dari mak dan ayah.

Buat menantu mak dan ayah.

Terlebih dahulu berbanyak-banyak terima kasih kerana menjadi sebahagian dari keluarga ini.Jodoh  pertemuan,ajal maut Allah yang tentukan.Alhamdulillah,syukur padaNya.

Pesanan mak dan ayah buat menantu yang di sayangi:

Sedari kecil hingga dewasa,mak ayah jaga serta didik Nur Syifa Farhana dengan baik.Bila dia buat salah mak ayah tegur dengan harapan dia akan sedar apa yang dia lakukan itu salah atau tidak.Alhamdulillah,Nur Syifa Farhana seorang anak yang baik.

Sebelum diijabkabul, Nur Syifa Farhana masih di bawah tanggungjawab mak ayah.Setelah lafaz  ijabkabul sah,Nur Syifa Farhana menjadi tanggungjawab Syauqi sepenuhnya.Didiklah dia supaya menjadi seorang isteri yang solehah penyejuk mata penawar hati penajam fikiran.Tegurlah dia jika dia buat salah.

Ada sedikit pesanan buat Syauqi:
Isteri yang solehah dan taatkan suami hanya akan terhasil jika suami juga seorang yang soleh dan bertanggungjawab. Malah mana mungkin suami mengharapkan ‘penyejuk mata’ melalui isteri dan anak-anak tanpa terlebih dahulu mereka berikhtiar mendidik isteri dan anak dengan cara yang betul? Inilah punca terjadinya suami mahupun isteri berlaku curang dan sebagainya. Sesungguhnya di sinilah letaknya soal kepimpinan melalui teladan, mengajar melalui tingkah laku dan bukan dengan konsep ‘ketam berjalan’ yang menjadi amalan kebanyakan kita. ‘Walk your talk’, itulah kunci kejayaan di dalam memimpin sebuah rumah tangga yang bertakwa.

Hayati juga hadis ini:
Daripada Abu Hurairah r.a,Rasulullah SAW bersabda:
 “Hendaklah kamu saling meminta nasihat tentang perkara-perkara kebaikan kepada kaum wanita kerana sesungguhnya kaum wanita dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk ialah yang paling atas. Jika kamu membetulkan dengan kekerasan nescaya ia akan patah, jika ditinggalkan (dibiarkan tanpa nasihat) nescaya kekal ia dalam keadaan bengkok maka saling menasihatilah dengan penuh kesabaran dan berlemah lembut”. 
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

                                                                                                                                     
Huraian Hadith: 
1.Para suami hendaklah bersikap bijaksana dalam membentuk kehidupan isteri-isteri mereka. Jika berlaku sebaliknya akan mengakibatkan kepincangan rumahtangga yang mungkin berakhir dengan perceraian.
2.Adalah menjadi kewajipan setiap suami untuk memberi didikan dan tunjuk ajar secukupnya dengan penuh kesabaran kepada isteri mereka agar tidak terumbang-ambing dalam hidup.
3.Berulang-ulangnya pesanan Rasulullah SAW mengenai wanita menunjukkan ia sangat-sangat penting kerana mereka adalah golongan yang lemah dan perlu kepada orang yang melindungi mereka dan menguruskan hal mereka serta mengawal pergerakan mereka ini kerana  kebebasan tanpa sempadan yang diberikan kepada anak-anak gadis menyebabkan berlakunya kepincangan besar dalam masyarakat yang mengundang kemurkaan Allah SWT.
4. Hadis ini memberi tunjuk ajar dan panduan kepada lelaki supaya bertolak ansur dan bersabar dalam berinteraksi dengan kaum wanita. Suami mestilah bersabar terhadap sikap isteri yang kurang memuaskan kerana lelaki lebih mampu sabar.

Buat anak mak dan ayah yang disayangi Nur Syifa Farhana:

Hayatilah hadis ini:
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
“Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga”.
(Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah)

Pengajaran Hadis:
i) Islam telah menggariskan peranan suami dan isteri dengan jelas di mana suami mestilah bersedia untuk mentadbir rumah tangga dan isteri pula mestilah bersedia untuk mentaati perintah suami.
ii) Syurga anak adalah di telapak kaki ibunya manakala syurga isteri adalah apabila taatkan suaminya. Taat di sini bererti patuh kepada perintah dan kehendak suami kecuali apabila suami menyuruh melakukan dosa. Ia menduduki tempat kedua selepas taat kepada Allah dan Rasul.
iii) Ketaatan isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana kuasa suami bukan terletak pada kekuatan fizikalnya tetapi terletak pada iman, ilmu dan kesabarannya. Dengan demikian barulah kepimpinannya menjadi lebih mantap dan dihormati isteri..
iv) Kunci kerukunan rumah tangga adalah persefahaman antara suami isteri. Oleh itu Islam telah menyarankan bahawa dalam mencari isteri idaman hendaklah dari kalangan wanita yang mempunyai empat ciri seperti berketurunan baik, elok paras rupanya, berharta, dan kuat pegangan agamanya. Namun yang perlu diutamakan adalah yang solehah (beriman) agar mudah untuk dididik dan beberapa masalah rumah tangga dapat dielakkan seperti isteri nusyuz dan sebagainya..
v) Setiap wanita Islam hendaklah menyedari tentang hak-haknya yang telah digariskan oleh syarak agar tidak berlaku kekeliruan dalam mentaati suami sehingga menjadi mangsa penderaan oleh suami yang tidak bertanggungjwab. Oleh itu seorang isteri yang solehah adalah yang mencakupi erti kata wanita yang berilmu dan beriman. Dengan demikian rumah tangga akan sentiasa aman dan bahagia.

Ingatlah Nur Syifa Farhana,dulu syurga anak di telapak kaki ibu kini syurga isteri adalah apabila taatkan suami.
Hayati juga juga lirik lagu ini,moga ianya bermanfaat buat Nur Syifa Farhana:

Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata penawar hati penajam fikiran
Di rumah dia isteri di jalanan kawan 
Di waktu kita buntu dia penunjuk jalan

Pandangan kita diperteguhkan 
Menjadikan kita tetap pendirian
Ilmu yang diberi dapat disimpan
Kita lupa dia mengingatkan

Nasihat kita dijadikan pakaian
Silap kita dia betulkan
Penghibur diwaktu kesunyian
Terasa damai bila bersamanya

Dia umpama tongkat si buta
Bila tiada satu kehilangan
Dia ibarat simpanan ilmu
Semoga kekal untuk diwariskan

Nur Syifa Farhana,dengar serta ikutilah teguran dan nasihat suamimu selagi ianya membawa dirimu mentaati Allah dan RasulNya.Ada sedikit lagi pesanan untuk Syauqi dan Nur Syifa Farhana:

Ibn al-Aswad AI-Dualy berkata kepada isterinya:
'Apabila kamu melihat aku marah, tenangkanlah aku. Apabila aku melihat kamu marah, aku pula menenangkan kamu. Jika tidak janganlah kita bersama-sama. '
Sebelum mengakhiri coretan ini berbanyak kemaafan mak dan ayah pohon seandainya bingkisan warkah ini mengganggu ketenteraman dan ketenangan kamu berdua.Bukan niat mak dan ayah untuk mengajar kamu berdua tapi sekadar nasihat dari orang yang lebih berpengalaman.
Sekian buat tatapan Syauqi dan Nur Syifa Farhana.
Seusai menatap bingkisan warkah dari mak dan ayah airmataku berguguran lagi.Terima kasih mak ayah kerana sudi memberi nasihat kepada kami berdua.Sayang mak ayah.










   

22 September 2012

SEDIKIT PESANAN



Amalan yang boleh dilakukan di rumah atau mana-mana sahaja seperti di pejabat,surau,masjid ketika anak-anak sedang menduduki peperiksaan di sekolah:

1.Ambil wuduk

2.Solat hajat dua rakaat

3.Duduk mengadap kiblat

4.Beristighfar  (3 x) diikuti dengan lafaz syahadah  (3 x)

5.Baca al-Fatihah 10 kali

6.Baca surah al-Ikhlas (1 x),al-Falaq (1 x) dan an- Nas (1 x)

7.Surah al-Insyirah (1 x)

8.Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW (10 x)

9.Baca Yassin (1 x)

10.Niat dalam hati supaya Allah SWT permudahkan anak-anak kita untuk menjawab soalan peperiksaan dengan tenang dan mudah.Dinasihatkan berdoa untuk anak kita sekaligus turut berdoa kejayaan anak-anak orang lain seperti anak-anak sahabat kita dan sebagainya.

11.Sepanjang anak kita menduduki peperiksaan adalah lebih baik ibubapa banyak membaca surah al-Insyirah dan mohon dalam hati agar Allah SWT permudahkan anak-anak kita.

INSYAALLAH


16 Julai 2012

SUKA DUKA BERIBU TIRI



Sepanjang hidupku dan adik-beradikku,kami telah melalui kehidupan yang teramat perit mempunyai seorang ibu tiri yang kejam.Hinaan,maki hamun dan cercaan menjadi mainan dibibir ibu tiri kami setiap hari.

Apakah salah kami?Apakah dosa kami?Kami dilayan sebegitu rupa.Kami sedar,kami tak beribu.kami anak yatim,kecil-kecil lagi sudah ditinggalkan ibu.Apakah kami tak layak menikmati keindahan alam ciptaan Allah ini,memandangkan kami tak beribu?

Aku mempunyai 10 orang adik-beradik,3 meninggal dunia semasa kecil.Tinggallah kami 7 beradik.Ibu meninggal ketika usiaku 8 tahun.Bayangkan umurku ketika itu sudah pun kehilangan seorang ibu.Tempat kami mengadu dan bermanja sudah tiada lagi.Apakah yang boleh dibuat oleh seorang ayah ketika ketiadaan ibu?Ketika itu tak ramai ayah yang boleh menjaga dan mendidik anak-anak yang ramai,lagipun kehidupan kami teramat miskin,ibarat ‘kais pagi makan pagi,kais petang makan petang’.Kecil-kecil lagi sudah diajar untuk bekerja bagi menampung perbelanjaan harian.

Selepas kematian ibu,bermulalah episod ngeri dan kegelapan dalam kehidupan kami adik-beradik.Selama ini aku hanya mendengar tentang kekejaman seorang ibu tiri dari buku-buku cerita dan juga di televisyen melalui drama-drama dan filem-filem.Itu sekadar lakonan,tapi aku dan adik- beradik mengalaminya sendiri.Ianya bukan cerita dongeng lagi,ianya benar-benar terjadi dalam kehidupanku dan adik-beradikku yang lain.

Sebelum ini kehidupan kami sekeluarga ceria dan indah sekali,walaupun taraf kehidupan kami teramatlah miskinnya,ibarat ‘kais pagi makan pagi,kais petang makan petang’.Ibu teramatlah baiknya,ibu disenangi semua jiran tetangga.Selepas kematian ibu,ayah mengambil keputusan untuk berkahwin lain,alasannya tiada orang yang mahu menjaga makan minumnya.Keputusannya itu membuatkan  kami adik-beradik memberontak.Kami takut apa yang kami baca,dengar dan tonton itu,mengenai kekejaman ibu tiri akan menjadi kenyataan.

Akhirnya apa yang kami takuti menjadi kenyataan apabila ayah tergesa-gesa mahu berkahwin tanpa menyelidik terlebih dahulu asal-usul wanita yang bakal dikahwininya.Bukanlah niat kami untuk membantah hasrat ayah untuk berkahwin lain,tapi ingatlah masa depan kami adik-beradik.Sebaik-baiknya carilah seorang ibu yang baik untuk kami adik-beradik,seorang ibu yang boleh menerima kami sebagai anak-anaknya,seorang ibu yang baik seperti ibu kami.

Ayah  tetap juga dengan hasratnya untuk berkahwin.Apa jua keputusan kami,ayah tak endahkan.Ayah memang degil,ayah tak sayangkan kami lagi.Ayah hanya pentingkan dirinya sendiri tanpa memikirkan apa yang terjadi kepada kami dimasa hadapan.Akhirnya kahwin juga ayah dengan wanita pilihannya walaupun kami memberontak.

Aku akui bukanlah semua ibu tiri kejam.Ada ibu tiri yang sangat-sangat baik,yang boleh menerima anak-anak dari perkahwinan suaminya yang terdahulu begitu juga sebaliknya.Ibu tiri aku ni lain dari yang lain.Ada saja yang tak kena pada pandangan matanya.Aku adik-beradik sering jadi mangsa kekejamannya.Kami sedar kami tiada ibu lagi.Apakah kami tidak layak untuk hidup dimuka bumi ini lagi,menumpang kasih seorang ayah?

Aku adik-beradik sering menjadi mangsa kekejamannya.Maki hamun menjadi perkara biasa baginya.Depan jiran tetangga pun kami dimaki hamunnya.Malunya hanya Allah saja yang tahu.Tubuh badan kami sudah lali dengan segala macam kayu,rotan,tali pinggang,penyapu dan sebagainya.Kena kejar dengan parang pun dah biasa,lari sekeliling kampung.Terpaksalah tebalkan muka,dapat ibu tiri yang kejam.Mangsanya kami adik-beradik.Dulu ibu kandung kami dikenali seluruh kampung kerana kebaikannya,kini ibu tiri kami juga dikenali seluruh kampung tapi bukan kerana kebaikannya,dikenali kerana kekejamannya mendera kami.Berbezakan dua situasi sebegini.

Bila kami didera oleh ibu tiri,ayah hanya berdiam diri sahaja,sikit pun ayah tak bersuara.

“Ayah takut bini agaknya”,kata kami dalam hati.

Tangisan dan kesakitan kami tidak dipedulikan oleh ayah.Entahlah,tak tahu juga kenapa ayah jadi begitu.Dulu sewaktu ibu masih ada,ayah seorang yang penyayang.Ayah baik sangat-sangat dengan kami adik-beradik.Ayah tak pernah marahkan kami,walaupun kami ada melakukan kesalahan(biasalah budak-budakkan,adakalanya degil)ayah tegur kami dengan baik.Sedikit pun ayah tak meninggikan suara,apatah lagi menggunakan kekerasan.Ayah bagi nasihat dan nasihat ayah kami ikuti,alhamdulillah begitu juga dengan ibu.

“Perkara yang tak elok dan tak baik jangan diikuti,jadilah anak yang soleh dan solehah”,masih ingat lagi pesanan ibu kepada kami 7 beradik disaat-saat akhir hayat ibu.Sesungguhnya aku terlalu merindui ibu.Moga ibu ditempatkan bersama dengan orang-orang yang beriman.Aamin.

Berbeza dengan situasi sekarang,ibu tiri sentiasa mencari kesalahan kami,walaupun kami tak melakukan.Kadang-kadang kesilapan kecil diperbesar-besarkan apatah lagi sejak dia di anugerahi 2 orang cahaya mata.Anak-anak dia jangan sesiapa pun menyentuh atau menegurnya walaupun melakukan kesilapan.Kalau sentuh atau tegur siaplah.

Tiada berkesudahan dengan kami adik-beradik,setelah kami berkahwin dan masing-masing dianugerahi anak,anak-anak kami pula menjadi mangsanya.Pantang silap sikit,mesti dapat habuannya.

Teringat pada suatu hari anakku yang bongsu,ketika itu berumur 6 tahun membela sepupunya yang sedang bergurau senda dengan salah seorang cucu ibu tiriku.

“Tua saja bodoh,tak ada akal.Jangan kata apa-apa dekat cucu aku,jangan sentuh cucu aku walaupun dengan hujung jari”,marah ibu tiriku pada salah seorang anak saudaraku.

“Biarlah kat diaorang,diaorang nak bergurau je bukannya bergaduh pun”,anakku tetiba je datang mencelah.
Pang!Ditamparnya pipi anakku.Apa lagi menangislah dia.Niat baiknya di balas dengan satu tamparan hebat dipipinya.Ya Allah,aku sendiri pun tak pernah tangan-tangankan anakku.Apa yang sikecil itu tahu.Niat asal nak membela sepupunya,akhirnya dia yang dapat habuannya.Kesian anakku.

“Aku tak suka sesiapapun menjejakkan kaki ke rumahku”,jerit ibu tiriku .

“Sedarlah diri sikit,kita pun menumpang rumah orang”,balas anak saudaraku.

Diangkatnya kaki mahu menerajang anak saudaraku.Nasib baiklah anak saudaraku mengelak,kalau tak mesti kena punya.Betapa zalimnya ibu tiriku,hanya Allah saja yang tahu.Tak cukup dengan kami adik-beradik,anak-anak kami pun turut sama menjadi mangsanya.Pendek kata tua muda,kecil besar menjadi mangsanya.Orang lain tak tahu dan tak merasainya sebagaiman yang kami adik-beradik serta anak-anak rasai.

Malu kami pada mentua dan ipar-duai.Mereka mempunyai keluarga yang bahagia,sedangkan kami hidup tersiksa.Bagi kami adik-beradik yang beristeri dan bersuami,malu kami pada isteri dan suami masing-masing hanyalah Allah saja yang tahu.Pada anak-anak kami,kasihan mereka.Mereka tak dapat bermanja dengan Tok Wan mereka.

Setiap kali kami ke rumah ayah,kami akan dihalau menyebabkan kami terpaksa berfikir dua kali untuk ke rumah ayah.Bukanlah bermakna yang kami lupa akan tanggungjawab kami kepada ayah.Kami ingat,tanpa ayah dan ibu tiadalah kami kat dunia ni.Tapi kami terkilan dengan sikap ibu tiri  kami,cukuplah kami sahaja yang menjadi mangsanya tapi bukan anak-anak kami.Mereka masih kecil.Kesiannya bila tiba hari raya,hajat hati nak berkumpul ramai-ramai dengan ayah yang banyak berjasa tapi tak kesampaian dengan apa yang berlaku.Masing-masing membuat keputusan untuk balik beraya di rumah mentua.

Kini sudah setahun lebih ayah pergi meninggalkan kami adik-beradik.Alhamdulillah,dapat juga kami mencurahkan bakti pada ayah setelah masing-masing dah bekerja.Setelah kematian ayah,ibu tiri berubah sikap jadi seorang yang pendiam,tidak lagi marah-marah dan dia tinggal dengan anaknya.Ada hikmah yang tersembunyi di sebalik apa yang berlaku.Alhamdulillah.

Alhamdulillah juga,berkat didikan ibu kami semasa hayatnya masih ada,dalam diri kami tiada sedikit pun dendam pada ibu tiri kami walaupun kami masing-masing sudah berkeluarga. Kami memberi layanan yang baik pada ibu tiri kami sama macam kami memberi layanan pada ibu kandung kami.Tiada sekelumit dendam pun dihati kami adik-beradik pada ibu tiri kami.Sebab kami tahu dendam bukanlah penyelesaian pada semua masalah.Terima dengan sabar dan redha segala ujian dan dugaan yang menimpa,yakin akan datang satu hari yang terbaik buat kami dan anak-anak dimana kami berbahagia dengan kehidupan kami sendiri tanpa mendengar lagi umpat keji,maki hamun,kata nista dan sebagainya.Allah sudah letakkan tempat terbaik untuk kami,walaupun kehidupan kami suatu ketika dulu suram dan sepi.sedih dan pilu,diri sentiasa dihambat ketakutan ,sepanjang hari terbayangkan apa kemungkinan yang berlaku seterusnya,apa lagi yang ibu tiri kami akan lakukan pada kami adik beradik,siang malam berdoa supaya Allah melembutkan hati ibu tiri kami,terima kami sama macam anak-anaknya yang lain.Alhamdulillah, walaupun dia tak dapat menerima kami tapi kami tetap bersyukur.Kehidupan kami sudah kembali tenang. Alhamdulillah.

Dalam diri usahkan ada walau sekelumit dendam,terima apa yang berlaku dengan sabar dan redha,insyaAllah hikmah yang diperolehi tidak terucap dengan kata-kata.

Ibu,
Pemergiaanmu mengadap Ilahi,
Pergi kepada penciptamu,
Pergi yang tak akan kembali lagi,
Pergi untuk selama-lamanya.

Ibu,
Sejak ketiadaanmu ibu,
Hidup anakmu menderita,
Sentiasa bertemankan airmata,
Menangisi pemergiaanmu ibu,
Menangisi hidup beribu tiri.

Ibu,
Saat beribu tiri,
Hanyalah mimpi ngeri,
Yang sentiasa mengiringi,
Tidur anakmu ini,
Bilakah ianya akan berakhir.
Oh ! ibu.

Ibu,
Sesungguhnya aku terlalu merinduimu ibu,
Moga dirimu ibu ditempatkan dalam golongan orang yang beriman.
Aamin.


08 Julai 2012

RAMADHAN



Ramadhan,
Jika dulu aku sia-siakan kedatanganmu,
Kini aku menghargai kedatanganmu,
Setiap harimu, tak ku biarkan ia berlalu begitu sahaja,
Biarpun walau sedetik,
Ku alunkan irama merdu kitab Kalamullah,
Bait-bait indah ku hayati satu persatu,
Helaian demi helaian,
Terasa damainya hati,
Tatkala irama merdu itu berkumandang.

Ramadhan,
Jika dulu aku sia-siakan pemergianmu,
Kini pemergianmu ku tangisi,
Aku rindukan saat-saat indah bersamamu ya Ramadhan,
Aku rindukan solat sunat Terawih,
Aku rindukan taddarus al-Quran,
Aku rindukan malam Lailatul Qadar
Aku rindukan siang dan malammu ya Ramadhan,
Rindu siangmu untuk berpuasa,
Rindu malammu untuk berterawih,
Rindu siang dan malammu untuk menggandakan pahala.

Ramadhan,
Andai aku diberi peluang,
Melayari hari-harimu yang mendatang,
Tidak akan aku persiakan,
Akan ku penuhi hari-harimu,
Dengan amalan yang berlipat kali ganda.
Insya-Allah.

"Puasa Itu Sebahagian Daripada Kesabaran."