09 Mei 2011

SURAH AL-WAAQI'AH


Surah Al-Waaqi'ah

Bismillah

A001
Apabila berlaku hari kiamat itu, (Al-Waaqi'ah 56:1)

A002
Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya. (Al-Waaqi'ah 56:2)

A003
Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat). (Al-Waaqi'ah 56:3)

A004
(Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebebar-benar goncangan. (Al-Waaqi'ah 56:4)

A005
Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya, (Al-Waaqi'ah 56:5)
A006
Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran, (Al-Waaqi'ah 56:6)

A007
Dan kamu pula menjadi tiga puak (yang berlainan keadaannya); (Al-Waaqi'ah 56:7)

A008
Iaitu puak pihak kanan; alangkah bahagianya keadaan puak pihak kanan itu? (Al-Waaqi'ah 56:8)

A009
Dan puak pihak kiri; - alangkah seksanya keadaan puak pihak kiri itu? (Al-Waaqi'ah 56:9)

A010
Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), - yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak); (Al-Waaqi'ah 56:10)

A011
Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah), (Al-Waaqi'ah 56:11)
A012
(Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat. (Al-Waaqi'ah 56:12)
A013
(Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu; (Al-Waaqi'ah 56:13)

A014
Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian. (Al-Waaqi'ah 56:14)
A015
(Mereka duduk di dalam Syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata; (Al-Waaqi'ah 56:15)

A016
Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan. (Al-Waaqi'ah 56:16)

A017
Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka, - (Al-Waaqi'ah 56:17)
A018
Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir. (Al-Waaqi'ah 56:18)
A019
Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya. (Al-Waaqi'ah 56:19)
A020
Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih, (Al-Waaqi'ah 56:20)

A021
Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini. (Al-Waaqi'ah 56:21) 

A022
Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya, (Al-Waaqi'ah 56:22)

A023
Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya. (Al-Waaqi'ah 56:23)

A024
(Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan. (Al-Waaqi'ah 56:24)

A025
Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; - (Al-Waaqi'ah 56:25)  

A026
Mereka hanya mendengar ucapan: " Selamat! Selamat! " (dari satu kepada yang lain). (Al-Waaqi'ah 56:26)

A027
Dan puak kanan, - alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu? (Al-Waaqi'ah 56:27)  

A028
Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. (Al-Waaqi'ah 56:28)  

A029
Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya, (Al-Waaqi'ah 56:29)  

A030
Dan naungan yang tetap terbentang, (Al-Waaqi'ah 56:30)  

A031
Dan air yang sentiasa mengalir, (Al-Waaqi'ah 56:31)  

A032
Serta buah-buahan yang banyak, (Al-Waaqi'ah 56:32)  

A033
Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya, (Al-Waaqi'ah 56:33)

A034
Dan tempat-tempat tidur yang tertinggi keadaannya. (Al-Waaqi'ah 56:34)  

A035
Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, (Al-Waaqi'ah 56:35)

A036
Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), (Al-Waaqi'ah 56:36)

A037
Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya. (Al-Waaqi'ah 56:37)

A038
(Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan; (Al-Waaqi'ah 56:38)

A039
Iaitu sebilangan besar dari orang-orang yang terdahulu, (Al-Waaqi'ah 56:39)

A040
Dan sebilangan besar dari orang-orang yang datang kemudian. (Al-Waaqi'ah 56:40)  

A041
Dan puak kiri, - alangkah seksanya keadaan puak kiri itu? (Al-Waaqi'ah 56:41) 

A042
Mereka diseksa dalam angin yang membakar dan air yang menggelegak (Al-Waaqi'ah 56:42)

A043
Serta naungan dari asap hitam, (Al-Waaqi'ah 56:43)

A044
Yang tidak sejuk, dan tidak pula memberi kesenangan. (Al-Waaqi'ah 56:44)  

A045
Sesungguhnya mereka sebelum itu dilalaikan oleh kemewahan (dunia, dari mengingati hukum Tuhan). (Al-Waaqi'ah 56:45)  

A046
Dan mereka pula sentiasa melakukan dosa yang besar, (Al-Waaqi'ah 56:46) 

A047
Dan juga mereka selalu berkata: "Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, betulkah kita akan dibangkitkan hidup semula? (Al-Waaqi'ah 56:47) 

A048
"Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu, (akan dibangkitkan hidup semula)? " (Al-Waaqi'ah 56:48)

A049
Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya orang-orang yang telah lalu dan orang-orang yang terkemudian, (Al-Waaqi'ah 56:49)  

A050
"Tetap akan dihimpunkan pada masa yang ditentukan - pada hari kiamat yang termaklum. (Al-Waaqi'ah 56:50)

A051
"Kemudian, sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat), (Al-Waaqi'ah 56:51


A052
Tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum, (Al-Waaqi'ah 56:52)

A053
"Maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu, (Al-Waaqi'ah 56:53)

A054
"Selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak, (Al-Waaqi'ah 56:54)

A055
"Iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas". (Al-Waaqi'ah 56:55)

A056
Inilah (jenis-jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari Pembalasan itu. (Al-Waaqi'ah 56:56)

A057
Kamilah yang telah menciptakan kamu (dari tiada kepada ada - wahai golongan yang ingkar), maka ada baiknya kalau kamu percaya (akan kebangkitan kamu hidup semula pada hari kiamat). (Al-Waaqi'ah 56:57)

A058
(Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)? (Al-Waaqi'ah 56:58)  

A059
Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya? (Al-Waaqi'ah 56:59)  

A060
Kamilah yang menentukan (dan menetapkan masa) kematian (tiap-tiap seorang) di antara kamu, dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan; (Al-Waaqi'ah 56:60)

A061
(Bahkan Kami berkuasa) menggantikan (kamu dengan) orang-orang yang serupa kamu (tetapi tidak seperti bawaan kamu), dan berkuasa menciptakan kamu dalam bentuk kejadian yang kamu tidak mengetahuinya. (Al-Waaqi'ah 56:61) 

A062
Dan demi sesungguhnya, kamu telah sedia mengetahui tentang ciptaan diri kamu kali pertama, maka ada baiknya kalau kamu mengambil ingatan (bahawa Allah yang telah menciptakan kamu dari tiada kepada ada, berkuasa membangkitkan kamu hidup semula pada hari akhirat kelak). (Al-Waaqi'ah 56:62)  

A063
Maka (mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam? (Al-Waaqi'ah 56:63)

A064
Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya? (Al-Waaqi'ah 56:64)

A065
Kalau Kami kehendaki, sudah tentu Kami akan jadikan tanaman itu kering hancur (sebelum ia berbuah), maka dengan itu tinggalah kamu dalam keadaan hairan dan menyesal, (Al-Waaqi'ah 56:65)

A066
(Sambil berkata): "Sesungguhnya kami menanggung kerugian. (Al-Waaqi'ah 56:66)

A067
"Bahkan kami hampa (dari mendapat sebarang hasil) " (Al-Waaqi'ah 56:67)  

A068
Selain dari itu, tidakkah kamu melihat air yang kamu minum? (Al-Waaqi'ah 56:68) 

A069
Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya? (Al-Waaqi'ah 56:69)  

A070
Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan dia masin, maka ada baiknya kalau kamu bersyukur. (Al-Waaqi'ah 56:70)

A071
Akhirnya, tidakkah kamu melihat api yang kamu nyalakan (dengan cara digesek)? (Al-Waaqi'ah 56:71)

A072
Kamukah yang menumbuhkan pokok kayunya, atau Kami yang menumbuhkannya? (Al-Waaqi'ah 56:72) 

A073
Kami jadikan api (yang tercetus dari kayu basah) itu sebagai peringatan (bagi orang-orang yang lalaikan kebenaran hari akhirat) dan sebagai benda yang memberi kesenangan kepada orang-orang musafir. (Al-Waaqi'ah 56:73


A074
Oleh yang demikian - (wahai orang yang lalai) - bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar (sebagai bersyukur akan nikmat-nikmatNya itu). (Al-Waaqi'ah 56:74)  

A075
Maka Aku bersumpah: Demi tempat-tempat dan masa-masa turunnya bahagian-bahagian Al-Quran, - (Al-Waaqi'ah 56:75)

A076
Dan sebenarnya sumpah itu adalah sumpah yang besar, kalaulah kamu mengetahuinya, - (Al-Waaqi'ah 56:76)

A077
Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan), (Al-Waaqi'ah 56:77)

A078
Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, (Al-Waaqi'ah 56:78)

A079
Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; (Al-Waaqi'ah 56:79)

A080
Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam. (Al-Waaqi'ah 56:80)

A081
Patutkah kamu (wahai golongan yang kufur ingkar) bersikap sambilewa terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini? (Al-Waaqi'ah 56:81)

A082
Dan kamu jadikan sikap kamu mendustakannya (sebagai ganti) bahagian dan nasib kamu (menerima dan bersyukur akan ajarannya)? (Al-Waaqi'ah 56:82)

A083
Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya, - (Al-Waaqi'ah 56:83)

A084
Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya, - (Al-Waaqi'ah 56:84)

A085
Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat, (Al-Waaqi'ah 56:85)

A086
Maka bukankah elok kalau kamu orang-orang yang tidak dikuasai (dan tidak tunduk kepada kekuasaan Kami), - (Al-Waaqi'ah 56:86)

A087
Kamu kembalikan roh itu (kepada keadaan sebelumnya) jika betul kamu orang-orang yang benar ? (Al-Waaqi'ah 56:87)

A088
Kesudahannya: jika ia (yang mati itu) dari orang-orang " Muqarrabiin ", (Al-Waaqi'ah 56:88)

A089
Maka (ia akan beroleh) rehat kesenangan, dan rahmat kesegaran, serta Syurga kenikmatan. (Al-Waaqi'ah 56:89)

A090
Dan jika ia dari puak kanan, (Al-Waaqi'ah 56:90


A091
Maka (akan dikatakan kepadanya):" Selamat sejahtera kepadamu, (kerana engkau) dari puak kanan". (Al-Waaqi'ah 56:91


A092
Dan jika ia dari (puak kiri) yang mendustakan (Rasulnya), lagi sesat, (Al-Waaqi'ah 56:92)

A093
Maka sambutan yang disediakan baginya adalah dari air panas yang menggelegak, (Al-Waaqi'ah 56:93)

A094
Serta bakaran api neraka. (Al-Waaqi'ah 56:94


A095
Sesungguhnya (segala yang disebutkan) itu adalah kebenaran yang diyakini. (Al-Waaqi'ah 56:95)

A096
Oleh itu, bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar. (Al-Waaqi'ah 56:96

Tiada ulasan:

Catat Ulasan