21 September 2011

USAHLAH BERBANGGA DENGAN APA YANG DIMILIKI



Setiap makhluk yang bergelar insan semuanya sama sahaja disisi ALLAH.Walau setinggi mana pun darjat,setinggi mana pun pangkat,secantik mana pun rupa paras seseorang,hartawan atau jutawan…bila matinya nanti tetap kain kapan sebagai pembalut tubuh,keranda sebagai usungan dan kubur sebagai tempat persinggahan selepas dunia sebelum dihimpunkan di Padang Mahsyar.Yang membezakan di antara semua ialah ketaqwaan dan keimanan ikhlas kerana ALLAH.

“Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi”. (Taha ayat:55)

“Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian Ia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu di sisiNya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan)”. (Al-An'aam ayat:2)

Usahlah berbangga dan mendabik dada dengan apa yang dimiliki pada hari ini,sedangkan di pengakhiran hidup adalah mati.Mati adalah pasti.

“Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan”. (Al-Anbiyaa' ayat:35)

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”. (A-li'Imraan ayat:185)

“Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan”. (Al-Munaafiquun ayat:11)

“Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur”. (A-li'Imraan ayat:145)

Harta benda yang dimiliki hanya boleh membawa kesenangan di dunia sahaja andai harta benda tersebut di gunakan untuk kepentingan diri sendiri sahaja tanpa menghulurkan kepada yang memerlukannya.

“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk”. (Al-Baqarah ayat:43)

“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa”. (Al-Baqarah ayat:177)

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji”. (Al-Baqarah ayat:267)

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. (At-Taubah ayat:60)

Pangkat dan darjat yang di anugerahkan di dunia bukan jaminan untuk ke syurga dan ianya bukan penentu untuk mendapatkan kebahagiaan dan kesenangan yang berkekalan di akhirat kelak.Disisi ALLAH semua itu tidak dipandang,hanya di dunia aje,akan diberi penghormatan dan disanjung tapi tidak di akhirat kelak.Apa yang ada pada pangkat dan darjat andai tiada iman dalam dada,apa yang ada pada harta benda yang tinggi menggunung andai tiada ketenangan di jiwa.

“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh)”. (At-Takaathur ayat:1)

Berbanggalah:
-andai segala amalan yang dilakukan semasa hayat didunia di terima ALLAH.
-andai syurga adalah jaminan di akhirat kelak.
-andai di kurniakan anak- anak yang soleh dan solehah yang boleh mendoakan untuk kita di alam barzakh nanti.
-dengan kehidupan sederhana yang dimiliki pada hari ini,di tambah lagi dengan iman penuh di dada.Biar susah di dunia,tapi senang di akhirat.Biar menderita di dunia,tapi bahagia di akhirat.
-sebab masih lagi diberi kesempatan hidup untuk memperbanyakkan amalan di samping mensyukuri nikmat anugerah dariNYA,alhamdulillah.
-sebab kita makhluk yang bergelar insan diberi akal untuk berfikir yang mana baik dan yang mana buruk.
Tapi jangan pula berbangga berlebihan yang boleh mengundang riak,sombong dan takbur.

“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri”. (An-Nisaa' ayat:36)

"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri”. (Luqman 31:18)

Sesungguhnya janji ALLAH untuk setiap hamba-hambaNYA yang beriman adalah balasan syurga,keampunan dan pahala yang besar.

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam "Syurga Adn" serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar”. (At-Taubah ayat:72)

“Dan bukanlah harta benda kamu dan tidak juga anak pinak kamu yang mendampingkan kamu di sisi Kami walau sedikitpun, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang mereka telah kerjakan; dan mereka pula ditempatkan dalam mahligai-mahligai (di Syurga) dengan aman sentosa”. (Saba' ayat:37)

“Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar”. (Al-Maaidah ayat:9)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan