12 November 2011

JANGAN BERBANGGA DIRI - BERMUHASABAHLAH SIAPA DIRI KITA SEBENARNYA


“Aku hebat..berpendidikan tinggi,berjawatan tinggi..aku kaya,aku cantik..mana ada kelas untuk bergaul dengan orang bawahan”.

Hebat sangatkah kita?Apakah dengan memiliki semua itu,kita boleh menguasai dunia,menandingi kekuasaan PENCIPTA kita?Sekadar nak mendabik dada,berbangga dengan apa yang dimiliki dan ingatlah baik-baik,wahai orang yang suka membanggakan diri,semua yang dimiliki itu hanya bersifat sementara sahaja.

Kalau sekalipun kita berpendidikan tinggi,berjawatan tinggi,kaya,cantik,handsome…fikirkan akal yang ada pada kita siapakah penciptanya,hati yang kita miliki,siapakah penciptanya,apa yang ada pada diri kita,siapakah penciptanya…tak mungkin ianya terjadi dengan sendirinya.Untuk membina sebuah rumah pun,kena menggunakan akal fikiran..dan akal itu anugerah siapa?

Untung sangat ke bangga diri ni.Ingat kita kaya,kita boleh bangga diri.Ingat kita cantik,kita boleh bangga diri.Ingat kita berjawatan tinggi,kita boleh bangga diri.Sedar tak,kedudukan kita disisi ALLAH,sama je tarafnya.

Sama – sama renungi sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam:
“Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawadduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Huraian
1. Islam menuntut umatnya beramal dengan sifat tawadduk dan hormat menghormati sesama Islam dengan demikian akan lahirlah sebuah masyarakat Islam yang harmoni.
2. Kedudukan orang Islam disisi Allah adalah sama sahaja tarafnya. Oleh sebab itu Islam melarang umatnya melakukan kezaliman dan hendaklah menjauhkan sifat-sifat keji seperti membesar diri, bermegah dan sebagainya.
3. Islam melarang umatnya bersifat bangga diri, kerana mempunyai pangkat dan kedudukan yang tinggi, tetapi hendaklah bersifat hormat menghormati antara satu sama lain dan jangan merendahkan orang lain, kerana semulia mulia manusia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa.

Apa guna berpelajaran tinggi,andai ilmu akhirat tiada.
Apa guna berjawatan tinggi,andai hidup sentiasa dirundung duka.
Apa guna kekayaan yang dimiliki,andai hati sentiasa resah gelisah.
Apa guna berwajah cantik,andai kecantikkan dalaman tidak diperindahkan.

Belajarlah mensyukuri akan nikmat ALLAH yang di anugerahkan kepada kita.Hindarilah sikap bangga diri,angkuh,sombong dan takbur.Ianya tidak mendatangkan apa-apa keuntungan malahan membawa kerugian pada diri sendiri di dunia mahupun di akhirat.

Hayatilah sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam:
“Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya.” Para sahabat bertanya lagi, “wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah “ialah orang yang takbur.”
(Hadis Riwayat at-Tarmizi)

Huraian
1. Orang yang berakhlak mulia adalah orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah dan diberi tempat yang paling dekat dengan baginda di hari kiamat nanti.
2. Bercakap-cakap kosong atau perkara-perkara yang sia-sia dan membuat fitnah adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang azab di hari akhirat kelak.
3. Islam juga melarang umatnya bersifat membangga diri dan memandang rendah serta menghina orang lain tetapi hendaklah bersifat tawaduk dan rendah diri demi menjaga hati dan perasaan orang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan