27 November 2011

PESANAN BUATMU


Wahai insan bernama lelaki,
Bila mana engkau di ajak melakukan kemungkaran,
Engkau jadikan Nabi Yusuf  a.s sebagai contoh,
Yang rela menerima hukuman dari manusia,
Dari menerima hukuman ALLAH.

Bermuhasabahlah diri dengan kata-kata Nabi Yusuf a.s:
“Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya". (Yusuf ayat:33)

“Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Yusuf ayat:34)

Wahai insan bernama lelaki,
Lihatlah,betapa mudahnya ALLAH memperkenankan doa Nabi Yusuf a.s,
Ketahuilah olehmu,sesungguhnya ALLAH jualah yang Maha Mendengar,lagi Maha Mengetahui.

Wahai insan bernama lelaki,
Usahlah terpedaya dengan kata hati menurut hawa nafsu,
Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh kepada kejahatan.

Renungilah surah Yusuf ayat:53:
"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. (Yusuf ayat:57)

Wahai insan bernama lelaki,
Berdoalah kepada ALLAH,
Minta di jauhi dari segala fitnah,
Kerana wanita fitnah terbesar buatmu.

 "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka". (Al-Baqarah ayat:201)

Hayatilah hadis ini:
Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Rasulullallah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda:  “Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela-selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita”.
 (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)

Wahai insan bernama lelaki,
Hayatilah pengajaran dari hadis ini:
1. Dunia mempunyai daya penarik yang kuat kerana Allah telah menjadikannya berkeadaan demikian untuk menguji manusia,siapakah yang dapat menguasai hawa nafsunya dan dapat menjalani kehidupan di dunia menurut jalan yang diredhai Allah.
2. Antara daya penarik dunia ialah wanita kerana lazimnya mereka mendorong lelaki dengan tutur kata yang manis, gerak geri yang menggoda dan pakaian yang memberahikan. Semua ini mencabar keimanan kaum lelaki sehingga mereka menjadi lalai terhadap tugas dan kewajipan mereka.
3. Oleh itu Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam menuntut kita supaya memelihara dan mengawal diri daripada diruntun oleh kemanisan dan keindahan dunia dengan menambahkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sambil mengingati bahawa segala yang ada di dunia hanyalah sementara sahaja berbanding dengan segala nikmat di akhirat yang kekal abadi.
4. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah. 

Wahai insan bernama lelaki,
Basahi lidah dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran,
Zikir-zikir memuji ILAHI,
Asma’ ul husna mengingati nama ALLAH,
Sebagai pendinding dari segala fitnah,
Moga dirimu sentiasa dalam rahmat dan redhaNYA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan