Wahai anak-anakku,
Andai kedua ibu bapamu tiada lagi,
Usahlah menangis hiba,meratap pilu,
Kerana setiap yang hidup pasti akan mati.
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”. (A-li'Imraan ayat:185)
Wahai anak-anakku,
Andai kedua ibu bapa tiada lagi,
Kirimkan doa dan sedekahkan ayat-ayat cuci Al-Quran,
Moga tempat pembaringan ibu bapamu sentiasa bercahaya.
Wahai anak-anakku,
Jadilah seorang anak yang soleh dan solehah,
Yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapa dunia dan akhirat.
"Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Al-Israa' ayat:24)
Wahai anak-anakku,
Dengarlah pesanan ayahmu ini,
Walau sesibuk manapun dalam mengejar urusan duniawi,
Ukhrawi janganlah ditinggalkan,
Kerana duniawi hanyalah sementara sahaja,
Kejarlah kejayaan duniawi dan ukhrawi.
"Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”. (Al-Baqarah ayat:127)
"Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka". (Al-Baqarah ayat:201)
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. (A-li'Imraan ayat:8)
Wahai anak-anakku,
Carilah redha kedua ibu bapamu,
Moga hidupmu sentiasa dalam redha ALLAH….insyaALLAH.
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda:
“ Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”
(Hadis Riwayat al-Hakim)
Pengajaran hadis:
i) Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.
ii) Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Di antara adab yang mesti dipraktikkan sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.
iii) Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menzirahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.
iv) Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun telah mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar.
v) Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah S.W.T, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredhaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan