Di alam roh lagi kita telah mengenal Allah.Bahkan telah mengakuinya sebagai Rabb(Tuhan kita).Mengenal Allah ertinya mencintai Allah.Kerana siapa sahaja yang kenal Allah,pasti akan mencintaiNYA.Namun perlu diingat,mengenal dan mengetahui itu berbeza.Mengenal dengan hati,mengetahui dengan akal.Sebenarnya,hati kitalah yang telah mengenal Allahdi alam roh dahulu,bukan akal kita.Tegasnya,cinta sejati sejak diri bermula ialah cinta Allah.
Malangnya,ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati itu sebaik sahaja mereka lahir ke dunia.Kita mula dipisahkan daripada cinta Allah seperti seorang anak yang dipisahkan daripada ibu sejatinya.Sejak itu tempat cinta sejati di hati kita telah diambil oleh ‘cinta angkat’.Kita telah terpisah terpisah dari Allah.Siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah?Sedih,yang memisahkan manusia daripada cinta Allah kerap kalinya ialah ibu bapa mereka sendiri.Ibu bapa tidak mengenalkannya kepada Allah.
Konsep didikan yang bertitik-tolakkan ‘Awaluddin makrifatullah’-awal agama mengenal Allah,tidak diberikan.Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar.Tidak dibajai dan diairi.Akibatnya,kita kenal ‘selain Allah’.Maka cinta kita pun beralih arah.Hakikat ini ditegaskan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam:
“Seseorang anak itu dilahirkan suci bersih.Maka ibu bapa yang menjadikannya Yahudi,Nasrani dan Majusi”.
Bermula dari situ perpisahan dengan cinta Allah pun bermula.Makin bertambah usia semakin jauh jarak perpisahan itu.Kekadang oleh corak pendidikan yang diterima.Begitu juga media masa yang didengar dan dilihat.Apa lagu yang didengarnya?Apa filem yang ditontonnya?Cinta siapa yang lebih kerap dilihat dan didengarinya?Malang sekali,bukan cinta Allah tetapi cinta selainNYA.
Puluhan tahun si anak dibuai oleh cinta makhluk seperti seorang anak yang dipelihara oleh ibu angkatnya.Hati,pemikiran,perasaan bahkan jiwa telah diserah seluruh dan sepenuhnya kepada ‘cinta angkat’ itu. ‘Cinta angkat’ itulah yang mendodoikannya sejak dia dalam kandungan ibu,di dalam buaian,di rumah,di sekolah,di dalam masyarakat dan diseluruh persekitarannya.Pancaindera kita sepenuhnya berinteraksi dan berkomunikasi dengan cinta itu sahaja.Dan pada ketika itu manusia yakin sepenuhnya bahawa ‘cinta angkat’ itulah cinta sejati kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan