17 April 2011

TAFSIR AYAT-AYAT SUCI AL-QURAN



Firman ALLAH dalam Surah AL-AN’AAM ayat:54 yang bermaksud:
Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan KAMI itu datang kepadamu (dengan tujuan hendak bertaubat dari dosa-dosa mereka) maka katakanlah: “Mudah-mudahan kamu beroleh selamat!TUHAN kamu telah menetapkan bagi diriNYA untuk memberi rahmat (yang melimpah-limpah): bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya,kemudian ia bertaubat sesudah itu dan berusaha memperbaiki (amalannya),maka sesungguhnya ALLAH MAHA PENGAMPUN LAGI MAHA MENGASIHANI”.

Huraiannya:
Setelah ALLAH menegah RasulNYA daripada menghalau golongan orang mukmin yang lemah semasa dalam majlisnya kerana mengharapkan pembesar-pembesar Quraisy masuk Islam,maka di sini ALLAH menyerunya pula agar memberi ucapan selamat kepada orang-orang yang memeluk agama Islam-dari semasa ke semasa-kerana mereka adalah orang-orang yang mempercayai akan keterangan-keterangan ALLAH.Ucapkanlah “Assalamualaikum” (keamanan dan kesejahteraan ALLAH limpahkan ke atasmu)bila mereka datang kepadamu.Dan katakanlah juga kepada mereka:

“TUHAN kamu telah menetapkan atas diriNYA bersifat belas kasihan”.

Maksudnya:KetetapanNYA bersifat belas kasihan terhadap makhlukNYA itu adalah suatu kemurahan dan kelimpahanNYA jua.Kemudian ALLAH menerangkan salah satu asas agama yang menunjukkan sifat belas kasihanNYA terhadap orang-orang mukmin ialah:

“Barangsiapa yang mengerjakan kejahatan di antara kamu kerana kejahilannya,sesudah itu ia kembali (bertaubat) dan mengerjakan yang baik,maka sesungguhnya ALLAH  MAHA PENGAMPUN LAGI MENGASIHANI”.

Maksudnya: Jika seseorang telah berbuat jahat iaitu kerana kejahilannya,lalu kejahatan itu dilakukannya,misalnya kerana marah lalu memaki orang ,kemudian dia tersedar akan dosa dan seksa yang bakal diterimanya di akhirat  dan menyesali perbuatan yang dilakukannya itu dan bertaubat yang sebenar-benarnya dan tidak mengulangi lagi perbuatannya yang jahat itu pada masa-masa yang akan datang,kemudian dia pun tekun mengerjakan amal yang baik-baik,nescaya ALLAH akan menerima taubatnya dan akan mengampunkan dosanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan