13 Februari 2011

KELEBIHAN-KELEBIHAN BERZIKIR

1.Zikir melahirkan cinta terhadap Allah dan cinta merupakan roh Islam,sumber agama,kebahagiaan dan kejayaan.Sesiapa yang ingin mendapatkan cinta Allah maka hendaklah dia berzikir sebanyak-banyaknya.Sebagaimana membaca dan muzakarah merupakan pintu ilmu,demikianlah zikrullah merupakan pintu cinta akan Allah.

2.Zikir mendatangkan hakikat muraqabah yang membawa seseorang kepada martabat ihsan.Martabat ihsan inilah yang menyebabkan seseorang itu beribadat dalam keadaan seolah-olah dia melihat Allah(keadaan inilah merupakan matlamat para ahli tasawuf).

3.Zikir membawa seseorang kembali kepada Allah.Sedikit demi sedikit Allah menjadi pelindung dan pembantu dalam setiap keadaannya.Dalam menghadapi setiap musibah perhatiannya akan tertumpu hanya kepada Allah.

4.Zikir menghampirkan seseorang kepada Allah.Sebanyak mana seseorang itu berzikir maka sebanyak itulah dia akan hampir kepada Allah.Sebaliknya sebanyak mana seseorang itu lalai daripada zikrullah maka sebanyak itulah dia jauh daripada Allah.

5.Zikir melahirkan keagungan dan kehebatan Allah di dalam hati.Zikir melahirkan tumpuan di dalam hati agar sentiasa ingat kepada Allah.

6.Orang yang berzikir disebut oleh Allah di majlisNya,sebagaimana firman Allah dalam Al-Quran,”Ingatlah kamu kepadaKu,maka Aku akan ingatimu”.Juga diterangkan dalam hadis , “Sesiapa mengingati Aku di dalam hatinya,maka Aku mengingatinya di dalam hatiKu”.

7.Dengan keberkatan zikrullah,lidah terselamat daripada mengumpat,mencela,berdusta dan percakapan yang sia-sia.Sesiapa yang membiasakan lidahnya dengan berzikir maka secara umumnya terpelihara daripada perkara-perkara tersebut.Sebaliknya orang yang tidak membiasakan lidahnya dengan zikrullah maka dia akan terlibat dalam segala jenis perbuatan yang sia-sia.

8.Nur zikrullah akan bersama seseorang itu sama ada di dunia mahupun di dalam kubur dan nur tersebut berada di hadapannya ketika dia melintas titian sirat.Allah berfirman dalam surah al-An’am ayat 122 yang bermaksud:
“Dan adakah orang yang mati(hatinya dengan kekufuran)kemudian Kami hidupkan dia(semula dengan hidayah dan iman)dan Kami jadikan baginya cahaya(iman) yang menerangi(sehingga dapatlah dia membezakan antara yang benar dengan yang salah dan dapatlah)dia berjalan dengan cahaya itu di tengah-tengah masyarakat manusia.(Adakah orang yang demikian keadaannya)sama seperti orang yang berada dalam kegelapan(kufur) yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya?”
                                                                                                 (al-An’am:122)
Orang yang dimaksudkan ialah orang-orang mukmin yang hatinya bercahaya dengan beriman kepada Allah, ‘mahabbah’(mencintainya), ‘makrifat’(mengenalinya) dan ‘zikrullah’(sentiasa mengingatinya).

9.Seseorang yang berzikir secara istiqamah akan terselamat daripada melupakan dirinya sendiri.Melupakan diri sendiri akan menyebabkan kecelakaan dunia dan akhirat.Oleh itu lupa daripada mengingati Allah merupakan sebab seseorang itu lupa akan dirinya sendiri serta mengabaikan segala jenis kebaikan untuk dirinya.Allah berfirman dalam surah al-Hasyar ayat 19 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah lalu (Allah menjadikan)mereka melupakan diri mereka sendiri.Mereka itulah orang-orang yang fasik”.                                                                                       (al-Hasyar:19)

10.Keampunan dan ganjaran seperti dijanjikan oleh Allah melalui zikrullah tidak akan diperolehi melalui mana-mana amalan yang lain.Disebutkan dalam sebuah hadis bahawa sesiapa yang membaca dibawah ini:

ﻻ ﺇﻠﻪ  ﺇﻻ ﺍﷲ  ﻮﺤﺪﻩ  ﻻ ﺸﺮﻴﻚ ﻠﻪ  ﻠﻪ ﺍﻠﻤﻠﻚ  ﻮﻠﻪ ﺍﻠﺤﻤﺪ ﻴﺤﻲ  ﻮﻴﻤﻴﺕ  ﻮﮬﻮﻋﻠﻰ  ﻜﻞ ﺷﻴﻰﺀ ﻘﺪﻴﺮ

sebanyak seratus kali pada satu hari maka dia akan mendapat pahala seperti memerdekakan sepuluh orang hamba,dicatatkan di dalam buku amalannya seratus kebajikan,dihapuskan daripadanya seratus dosa,dipelihara daripada syaitan sehingga ke petang dan tidak ada sesiapapun yang lebih daripadanya kecuali orang yang membaca kalimah itu lebih daripadanya.

11.Di dalam hati manusia ada suatu bahagian yang tidak dapat dipenuhi melainkan dengan zikrullah.Apabila zikir telah menguasai hati maka zikir bukan saja dapat mengisi bahagian hati bahkan menjadikan seseorang itu kaya,walaupun tiada mempunyai harta,menjadikannya dipandang mulia,walaupun tidak mempunyai puak dan bukan dari keturunan bangsawan.

12.Zikir menghimpun kembali yang telah bercerai dan menceraikan yang telah terhimpun,mendekatkan yang jauh dan menjauhkan yang dekat.Maksud ‘menghimpun kembali yang telah bercerai’ialah pelbagai kerisauan,dukacita dan kegelisahan yang ada di dalam hati manusia diganti dengan ketenangan.Maksud ‘menceraikan yang telah terhimpun’ialah kesalahan dan dosa yang telah terhimpun pada seseorang dipisahkan daripadanya.Tentera-tentera syaitan yang menguasai seseorang diceraikan daripadanya.Cinta akhirat yang jauh itu didekatkan dan cinta dunia yang dekat itu dijauhkan daripada seseorang.

13.Melalui zikrullah terbinalah mahligai di dalam syurga.Apabila seseorang hamba berhenti daripada berzikir maka para malaikat berhenti daripada membina mahligai itu.Apabila mereka ditanya, “Mengapakah kamu berhenti daripada membina mahligai si fulan itu?”Mereka menjawab bahawa perbelanjaannya belum tiba lagi.Disebutkan dalam sebuah hadis lagi bahawa sesiapa yang mengucapkan:
 ﺴﺒﺤﺍﻦ ﺍﷲ  ﻮﺒﺤﻤﺪہ   ﺴﺒﺤﺎﻦ  ﺍﷲ  ﺍﻠﻌﻈﻴﻡ
sebanyak  tujuh kali nescaya dibinakan satu kubah untuknya di dalam syurga.

14.Zikir adalah penghadang daripada api neraka.Sesiapa yang dimasukkan ke dalam neraka kerana sesuatu perbuatan yang buruk maka zikirnya akan menjadi penghadang antaranya dengan apa neraka.Semakin banyak berzikir maka semakin kukuhlah pendinding itu.

15.Para malaikat memohon keampunan untuk orang berzikir.Hazrat ‘Anr bin ‘Aas meriwayatkan bahawa apabila seseorang mengucapkan, ﺴﺒﺤﺍﻦ ﺍﷲ  ﻮﺒﺤﻤﺪہ
atauﺍﻠﺤﻤﺪ    ﺮﺐ  ﺍﻠﻌﻠﻤﻴﻦ                                                          
maka para malaikat berdoa, “Ya Allah,ampunilah dia”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan